KUALA LUMPUR, 12 DIS 2008: Sejak terpampangnya rakaman video ekskslusif yang menunjukkan aksi mesra Que Haidar sedang membelai rambut ikal Linda Jasmine dalam portal hiburan murai.com.my, baru-baru ini, ramai pihak tertanya-tanya status sebenar hubungan mereka sehingga ramai wartawan hiburan berusaha mendapatkan mereka.
Tujuan mereka adalah untuk mendengar pengesahan lanjut tentang hubungan cinta aktor yang berwajah keanak-anakan itu dengan guru tari program Akademi Fantasia (AF) tersebut.
Namun, Que atau nama sebenarnya Tengku Ishkan Shah Tengku Haidar, 29, masih tetap mahu mengelak daripada terus berbicara mengenai hubungan cintanya dengan wanita yang 7 tahun lebih berusia daripadanya itu (Linda, 36 tahun).
Sungguhpun begitu, dalam pertemuan murai.com.my secara eksklusif bersama Que Haidar dalam rakaman program Sehati Berdansa 2 di Astro, Bukit Jalil, malam tadi, Que akhirnya telah membuat pengakuan eksklusif bahawa dia sangat mencintai Linda Jasmine malah akan mengahwini wanita kacukan itu.
"Linda bukan saja dewasa dan pandai mengambil hati saya tetapi dia juga melayan saya dengan begitu baik serta pandai memanjakan diri saya. Kebetulan saya memang suka dimanjakan. Itulah ciri-ciri yang ada pada Linda yang membuatkan saya cukup tertarik dengannya. Masalah usia dan statusnya sebagai seorang ibu tunggal beranak satu, itu bukanlah satu penghalang.
"Kebetulan saya juga rapat dengan anak Linda dan dia boleh menerima kehadiran saya dengan baik ," kata Que sambil malu-malu.
Menurut Que lagi, dia bersyukur kerana keluarganya sangat memahami hubungannya dengan Linda.
"Mereka (keluarga) sudah berjumpa dengan Linda dan saya juga pernah membawa Linda pulang ke kampung saya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor. Malah saya juga sudah berjumpa dengan keluarga Linda. Mereka pun dapat terima kehadiran saya dalam hidup Linda.
"Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan menikah dan memperisterikan Linda pada bulan Februari tahun depan. Tarikhnya pun sudah dipilih iaitu pada Hari Kekasih - 14 Februari 2009.
"Kami juga bercadang untuk mengadakan pernikahan di Ampang, Kuala Lumpur manakala majlis resepsi perkahwinan pula berlangsung pada 15 Mac depan di kampung saya nanti, " kata Que yang kerap kali menemani Cikgu Linda yang menjalankan tugas sebagai pengkritik tetap Sehati Berdansa 2.
Jelas Que lagi, keputusan untuk mengahwini Linda telah difikirkan dengan sehabis-habisnya.
"Saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami serta ayah kepada anak Linda nanti," kata Que.
Berita menggembirakan ini turut disiarkan oleh Astro Awani menerusi Gala TV mulai semalam. Nantikan juga video pengakuan pertama Que tentang Cikgu Linda yang berjaya diperoleh oleh murai.com.my.
Sumber : Murai.Com
Tags:
#STARS
0 comments